
Menjadi seorang manusia fitrahnya akan ada fasa bersemangat dan fasa ‘down’ (kurang bersemangat) dalam menjalani kehidupan setiap hari. Ada banyak faktor yang mempengaruhi situasi setiap orang, dan setiap situasi masing-masing tidak sama dengan orang lain.
Percaya kah anda, bila kita kurang bersemangat itu tandanya iman kita sedang berkurang. Mungkin pada hari atau minggu tersebut kita sudah mula solat lewat waktu, atau kurang membaca Al-Quran dan terlalu sibuk dengan kerja-kerja dunia sampai bateri iman kita semakin ‘low’ tanpa kita sedar.

Siapa yang kita cari bila rasa Down?
Bila tak keruan, gelisah, resah, rasa blur tak tahu nak buat apa, siapakah orang pertama yang akan anda cari?
Bila kita dalam kesusahan, tak cukup duit, tak cukup makan, siapakah orang pertama yang akan anda cari untuk minta pertolongan?
Ada diantaranya akan mula mencari bantuan melalui mereka yang terdekat dengan anda, ibu atau ayah, rakan-rakan atau sahabat yang memahami keadaan anda betul kan? Anda cari mereka untuk dapatkan sokongan dan KATA-KATA MOTIVASI bagi mengembalikan semula semangat anda yang makin luntur.
Lupakah anda bahawa, tempat pengaduan yang pertama adalah kepada Allah SWT?
Anda lupa nak mengadu kepada Allah terlebih dahulu, Allah yang turunkan sedikit ujian kepada anda untuk menjadikan anda dekat semula kepadaNya. Cuba dapatkan kata-kata motivasi dariNya terlebih dahulu di dalam Al-Quran atau di dalam solat anda.
Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (Surah Al-Baqarah: ayat 286)
“Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.” (Surah At-Taubah, ayat 40)
Jelas, Allah tidak akan pernah meninggalkan anda sendirian, Allah sentiasa ada bersama dengan anda.

Nikamtilah dan jalanilah kehidupan dengan penuh rasa syukur dan penuh rasa kehambaan. InsyaAllah, Allah akan bantu mudahkan segala urusan kehidupan anda.